clik clik on...

Pages

Puasa sunat dan Puasa Qada'

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wrt wbt.

          Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam yang telah menjadikan seluruh nikmat kepada seluruh hambaNya, selawat dan salam kepada kekasihNya Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat dan seluruh umat yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

          Alhamdulillah, untuk kali pertamanya saya rasa terpanggil untuk cuba mencari jawapan dan mengkongsikannya bagi satu persoalan yang timbul berkenaan dengan perbezaan martabat antara mengqada’kan puasa wajib dan melakukan puasa sunat di bulan Syawal. Persoalannya ialah apakah harus seseorang yang mempunyai puasa wajib yang patut diqada’ melakukan terlebih dahulu puasa sunat 6 hari di bulan Syawal kerana merasakan fadhilat puasa sunat 6 hari itu hanya boleh didapati di bulan Syawal sahaja sedangkan puasa qada’ boleh dilakukan pada bila2 masa di bulan yang lain.

Tersebut di dalam Kitab Nihayatul Muhtaj Ila Syarhil Minhaj (Imam Romli) m/s 211, “dan Hasillah pembahagian qada’ puasa itu kepada barang yang adalah ia dengan sengaja dan kepada yg lainnya (dengan uzur atau tanpa sengaja), juga berlakulah masalah ini pada solat, & pada iktikaf yang dinazarkan pada masa-masa tertentu, & juga pada masalah mengqada’ Haji dan Umrah”.

Berkatalah pengarang Kitab Al-Hawasyil Madaniyah Syarah Mukhtasar Hadhrami, “maka sunat berturut2 mengqada’ puasa dan bersegera, iaitu bagi qada’ yang ditinggalkan kerana uzur (tanpa sengaja), kerana bersegera bagi melepaskan tanggungjawab; dan wajib pula bersegera dengan mengqada’ & wajib berturut2 sekiranya dia berbuka dengan tiada uzur, supaya dia keluar daripada maksiat yang sengaja”.

Di dalam Kitab Busyrol Karim Bi Syarhi Masa’ilitta’lim (Syeikh Said Bin Muhammad Ba Isyin) pada juzuk ke-2 m/s 73, “dan disunatkan pada barang yang luput daripada puasa dengan sebab uzur berturut2 pada mengqada’ puasa & bersegera kerana bagi melepaskan tanggungjawab; dan wajib bersegera mengqada’ puasa lagi melazimkan berturut2 jika berbuka bukan kerana uzur, supaya dia keluar daripada maksiat meninggalkan puasa dengan sengaja, berkatalah pengarang Kitab Imdad, pada hal ini, wajib bagi orang itu untuk qada’ walaupun pada safar dan seumpamanya, tatkala meringankan dan menangguhkan mengqada’ adalah tidak layak bagi orang yang tinggalkan puasa tanpa uzur”.

Di dalam Kitab Mahalli (Kitab Hasyiah Qulyubi Wal Umairah ‘Ala Syarhil Mahalli ‘Ala Minhajut Tolibin), “ini suatu cabang, bermula orang yang sengaja berbuka puasa, wajib bagi dirinya bersegera pada mengqada’ sekalipun dia bermusafir; dan adalah makruh dia berpuasa sunat sebelum mengqada’ yang ada atas dirinya samaada luput puasa kerana sengaja mahupun tidak”.


Di dalam Kitab Sabilul Muhtadin Lit Tafaqqahu fi Amriddin (Syeikh Muhammad Arsyad Bin Abdullah Al-Banjari) pada juzuk ke-2 m/s 160, “..dan sunat baginya puasa enam hari daripada bulan syawal dan jika tiada puasa ia pada bulan Ramadhan sekalipun (luput kerana uzur), tetapi jika luput akandia Ramadhan dengan tiada uzur janganlah dipuasakannya sunat Syawal hingga dibayarnya qada’ Ramadhan kerana wajib atasnya menyegerakan qada’ pada ketika itu, dan jika dikerjannya jua qada sebulan Ramadhan didalam bulan Syawal sunat baginya mengqada’ enam hari puasa Syawal didalam bulan Zulqaidah”.

Dan tersebut juga di dalam Kitab yang sama (Kitab Sabilul Muhtadin LitTafaqqahu fi Amriddin), pada m/s 161, “Kata Syeikh Romli di dalam Kitab Nihayah, terhasil baginya pahala sunat Syawal (dengan puasa qada’) jika tiada qasad ia mengerjakan puasa qada’ itu lain daripada puasa sunat Syawal”

Maka di sini ada beberapa kesimpulan yang boleh dibuat:

Haram melakukan puasa sunat sekiranya masih ada puasa wajib yang patut diqada’. (Ini berdasarkan Kitab Nihayatul Muhtaj Ila Syarhil Minhaj, yang mengatakan sama hukumnya bagi puasa yang patut diqada’ dengan hukum solat yang patut diqada’, maka ini adalah pendapat yang rojih).
Makruh melakukan puasa sunat sekiranya masih ada puasa wajib yang patut diqada’. (Ini berdasarkan Kitab Hasyiah Qulyubi Wal Umairah ‘Ala Syarhil Mahalli ‘Ala Minhajut Tolibin, maka ini adalah pendapat yang dhoif, kerana Kitab Nihayatul Muhtaj Ila Syarhil Minhaj adalah lebih muktamad, namun pendapat ini tetap boleh digunakan).
Sunat menyegerakan dan berturut2 mengqada’ puasa yang ditinggalkan dengan tidak sengaja (uzur dan sebagainya); tetapi wajib menyegerakan dan berturut2 mengqada’ puasa yang ditinggalkan dengan sengaja.
Harus bagi orang yang mengqada’kan puasa sehingga tidak sempat untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal, mengqada’kan puasa sunat 6 hari itu di bulan Zulhijjah (Kitab Sabilul Muhtadin Lit Tafaqqahu fi Amriddin).
Terhasil fadhilat dan pahala puasa sunat Syawal sekiranya mengqada’kan puasa di bulan Syawal dengan tidak meniatkan puasa qada’ itu suku dan fadhilat puasa sunat itu suku (Kitab Sabilul Muhtadin Lit Tafaqqahu fi Amriddin).

          Sekadar itu sahaja, semoga perkongsian ini jelas dalam menjawab persoalan yang telah tersebut di atas dan semoga ianya memberi manfaat bagi orang yang inginkan kebaikan dan kebenaran. Walaubagaimanapun sekiranya ada pendapat lain mahupun kekurangan di dalam penjelasan ini, harapnya ada sahabat yang sudi untuk menambah, memperbetulkan, atau mendatangkan huraian2 dan pendapat2 yang lebih baik berdasarkan rujukan yang muktabar. Dan harapan juga semoga ianya disebarkan kepada sahabat2 yang lain.

          Saya memohon ampun kepada Allah SWT di atas kekurangan diri saya. & saya memohon maaf kepada sahabat2 sekiranya ada salah dan silap. Sesungguhnya saya adalah orang jahil yang inginkan kebaikan untuk diri saya dan juga orang lain.

artikel ini di kreditkan kepada Muhamad hazwan(awe)

0 comments:

Followers