clik clik on...

Pages

MINDA BISTARI #51 - KAYA SAMBIL BERAMAL JARIAH - NILAI ISLAM DALAM BISNES DAN KORPORAT



(Artikel ini diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 19 Ogos 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor di bawah tajuk “PENERAPAN NILAI MURNI BISNES”)
Pada Ramadan al mubarak ini, ahli bisnes dan korporat Muslim pasti ingin muhasabah diri bagi menilai sejauh mana bisnes dan aktiviti korporat masing-masing menepati sepenuhnya anjuran untuk menambah amal ibadah dan perkara yang baik, sekali gus mengelak apa yang dilarang dan merosak serta memudaratkan.
Dalam usaha ini, semua ahli bisnes dan korporat wajib menentukan semua yang dilakukan menepati tuntutan yang wajib, halal dan diharuskan Islam, sebaliknya menjauhi segala yang haram dan dilarang Islam.
Kita bersyukur Malaysia mengambil tindakan berkesan bagi memudahkan hal ini disempurnakan. Urusan bisnes dipermudahkan penserasiannya dengan Islam, misalnya setelah sistem kewangan Islam dijayakan dan dimeratakan amalannya di Malaysia.  Kita kini mempunyai pilihan untuk memenuhi tuntutan agama dalam berurusniaga kewangan. 
Kini, inisiatif Malaysia dalam kewangan Islam, termasuk di bidang takaful semakin terkenal di peringkat dunia.
Hari ini, sistem kewangan Islam atau perbankan Islam dan takaful Islam turut mendapat perhatian negara maju.  Sistem kewangan dan takaful Islam bukan saja adil dan saksama, malah ia berpotensi menyeimbangkan sistem kewangan ekonomi dunia.  Ia mendapat perhatian kerana Barat mula bimbang  masalah, kepincangan dan kerosakan yang berlaku akibat sistem kewangan non-Islamik yang rakus dan mengeksploitasi peminjam dan pengguna. 
Sistem rakus dan ”greed-driven” ini mengakibatkan perebutan ganjaran berlebihan di kalangan eksekutif atasan.  Ia juga menggalakkan spekulasi berlebihan di kalangan bank serta korporat besar menyebabkan  ketidakstabilan sistem, kemarahan dan kebencian golongan bawahan terhadap bank dan korporat mereka..
Saya tertarik dengan pandangan bekas ahli bisnes dan CEO Sweden, Rolf Osterberg yang menulis dalam bukunya pada 1993, bertajuk: Corporate Renaissance, Business as an adventure in human development. Osterberg menyatakan: ”I often wondered why one of the world’s great religions, the Muslim faith, so expressly bans the charge of interest… There must be a higher thought behind it.”  
Sentimen seperti ini banyak dinyatakan kebelakangan ini.  Pemikir Barat semakin terdesak mencari pembaharuan ke atas sistem kewangan dan ekonomi mereka yang tidak lagi berupaya dilestarikan atau tidak sustainable.
Selain bidang kewangan, Malaysia, sebagai salah sebuah negara Islam termaju, juga semakin terkenal kerana usahanya menjayakan program halal di bidang makanan, pengeluaran dan khidmat lain.  
Saya percaya niat Malaysia bersungguh-sungguh menjayakan kedua-dua bisnes halal dan kewangan Islam hingga ke peringkat global, adalah untuk memangkinkan penerapan sepenuhnya nilai Islam ke dalam kehidupan bisnes dan ekonomi.  Ia satu fardu kifayah yang perlu disempurnakan segera.  Kedua-dua kewangan Islam dan halal boleh digunakan untuk kelebihan bisnes Muslim Malaysia bersaing, disamping sebagai strategi penting mengawal pasaran Muslim di tangan umat Islam. 
Malangnya, hari ini potensi strategik ini telah semakin hilang.  Dulu, bidang kewangan Islam memberi kelebihan kepada Bank Islam di peringkat awal penubuhan.  Kelebihan bersaing ini hilang apabila semua bank dan syarikat mula menawarkan instrumen kewangan Islam. 
Kini semua bank bukan Muslim seperti Citibank, HSBC, dan OCBC turut menawarkan produk dan instrumen kewangan dan takaful Islam.  Status ’keislamannya’ tidak lagi dinafikan, dan mereka kini menguasai pasaran.
Demikian juga dengan produk halal.  Kini dilaporkan 80 peratus produk makanan halal yang diguna oleh pengguna Muslim di Malaysia dikeluar dan dibekalkan oleh non-Muslim.   Hakikatnya sebahagian besar produk halal ini dikeluarkan syarikat gergasi milik korporat multinasional (MNC) Barat, dan bukan pengeluar tempatan.
Apa pnn, masih terdapat ruang bagi Muslim menyusun strategi bersaing, di samping menjayakan aspirasi menerapkan nilai Islam dan menjadikannya teras kepada sistem ekonomi negara.  Nilai Islam yang unggul termasuk nilai keadilan, keperihatinan, ihsan, tidak merosak dan memudarat, amanah, ikhlas, tidak menipu, mengurangkan timbang dan sukat serta memalsu, dan seumpamanya. 
Demikian juga semangat berlumba membuat kebaikan (fastabiqul khairat), dan nilai hidup murni dengan akhlak mulia.  Semua ini jika diamal mengikut ajaran Islam pasti menjadikan semua hasil usaha bisnes sebagai amal soleh dan rahmat kepada manusia dan sekalian alam.  Semua nilai ini wajib diterap, diamal dan dijayakan dalam kehidupan bisnes dan korporat Muslim.
Semua nilai ini diperlukan memandangkan sistem bisnes dan korporat pengenalan kapitalis Barat, biar pun berkesan sebagai jentera penjana kekayaan, telah mengakibatkan kerosakan yang tidak lagi dapat dilestarikan.  Antara kerosakan dan kemusnahan besar yang berlaku ialah:
• Jurang antara kaya dan miskin semakin melebar
• Sistem ekonomi pacuan bisnes (business-driven) tidak berhati-perut
• Kerakusan korporat merosak sistem ekonomi, sosial dan nilai kemanusiaan
• Merosak alam sekitar dan mengancam sumber ekonomi lain
• Mengakibatkan ekspoitasi, dominasi dan penjajahan, selain meminggir ramai manusia
• Memudaratkan seluruh alam dan kehidupan
Kerosakan semakin teruk berlaku sehingga Osterberg turut memerhatikan: ”Wherever I go in the Western world I see the same symptoms of disharmony, dissatisfaction and alienation… Many of us have begun searching, searching for meaning… We have begun to see that our economy and material progress do not serve people.  In fact, it is the other way around. We have become prisoners of the economy, and we are on our way to consuming ourselves.”
Seperti dikatakan, sistem kewangan Islam berpotensi menstabilkan sistem kewangan dunia.  Dengan demikian penggunaannya perlu diperluaskan.  Namun, dipercayai pembaharuan sistem kewangan sahaja tidak dapat mengatasi akar umbi sumber utama ancaman dan masalah sistem ekonomi dunia, khsnya terbit daripada nilai hidup rakus dan materialistik.
Untuk itu, sistem ekonomi memerlukan sistem bisnes dan korporat alternatif sebagai nilai teras berbisnes.  Umat Islam wajib menganjurkan gagasan inovatif dan kreatif dalam menenerapkan nilai Islam ke dalam sektor korporat, iaitu langsung kepada institusi syarikat dan korporat  sebagai ’jentera utama dan paling perkasa’ dalam sistem ekonomi.  Ini boleh segera mereka lakukan dengan memperkenal dan mengamal nilai Islam sepenuhnya dalam organisasi bisnes dan korporat yang mereka miliki dan terajui.
Saya yakin Jihad Bisnes dan konsep institusi Waqaf Korporat sangat relevan untuk menuju pembaharuan.  Kedua-duanya bertujuan menjadikan usaha bisnes sebagai ibadah dan amal soleh untuk membawa manfaat kepada manusia.
Namun, ia tidak boleh dijayakan tanpa membaharui corak arkitektur organisasi bisnes dan pegangan hakmilik bisnes seperti kaedah kapitalis selama ini.  Sekalipun tidak semua bisnes milik individu dan keluarga rakus, dipercayai sikap rakus lebih mudah terbit daripada kuasa hak milik yang dipegang pada bahagian terbesarnya oleh individu dan keluarga.  Ia akan terus menggalakkan sikap mendahulukan kepentingan peribadi dan keluarga.
Tiba masanya Malaysia dan negara Islam lain memilih alternatif baru kepada sistem yang merosakkan ini dengan menumpukan perhatian kepada punca utama, iaitu sistem ekonomi pacuan syarikat korporat swasta, yang menjadi punca kerosakan.
Bagi usahawan mengendalikan bisnes kecil-kecilan, sekiranya berlaku mudarat, impaknya kecil.  Ibadah dan amal soleh lebih mudah disempurnakan dengan menepati tuntutan halal dan membawa sebanyak manfaat kepada pelanggan dan pengguna.  Kemudian apabila untung, harta boleh disucikan dengan zakat, infak, sedekah, jariah dan wakaf.
Bagi syarikat besar dan korporat (termasuk GLC), mereka perlu sedar impak yang dibawa, sekiranya bermudarat dan merosakkan, berlipat ganda kesannya terhadap masyarakat.  Dengan demikian, amal soleh yang diharapkan adalah jauh lebih besar, tidak memadai dengan program tanggungjawab soaial korporat (CSR) yang ad hoc saja.  Sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat perlu diintegrasikan ke dalam struktur dan dijadikan ”DNA” korporat.  Dalam kata lain, kita tidak boleh mengaharapkan organisasi korporat dalam konsep dan corak sedia ada untuk memperbaharui keadaan. 
Tanpa pembaharuan menyeluruh, jurang ketidakadilan dan ketidak seimbangan harta kekayaan lebih cepat diperlebar, apabila syarikat swasta milik eksklusif individu dan keluarga menjadi gergasi.  Akhirnya sistem ekonomi akan berpanjangan ciri ketidakadilan sehingga ke tahap kezaliman setelah yang kaya terus bertambah kaya dan yang miskin terpinggir selamanya.
Sebagai strategi awal, memandangkan lemahnya tahap swasta Muslim, GLC dan penubuhan organisasi Waqaf Korporat Muslim harus diberi peranan utama dalam merapatkan jurang dalam sistem.  GLC harus bertindak sebagai institusi korporat amanah dengan menerapkan nilai murni Islam ke dalam tindak-tanduk bisnes dan kehidupan korporat. 
Matlamat utama di peringkat awal ialah membina asas pembaharuan dan pengimbangan sistem supaya manfaat besar daripada hasil usaha bisnes dan korporat dapat ditujukan untuk kepentingan semua dan tidak lagi eksklusif kepada yang berada saja.
Muhammad Ali Hashim,
18 Ogos, 2010.

Followers