clik clik on...

Pages

BISNES UNTUK BISNES - Orang Melayu Perlu Bebaskan Perniagaan Daripada Pertimbangan Politik, Individu

Posted On September 2, 2010
(Artikel ini diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 2 September 2010)
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-53. Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia harus mengukur sejauh mana pencapaian bangsa dan negara memenuhi aspirasi kemerdekaan sebenar. Kita wajar berbangga dengan pencapaian negara sejauh ini. 
Namun, dalam konteks perjalanan bangsa-bangsa di dunia, pencapaian ini harus diukur dan dinilai secara objektif.  Sekalipun sangat memuaskan, warga Malaysia perlu memuhasabah agar tidak cuma berpuas hati, ghairah dan selesa dengan apa yang telah dicapai.
Seharusnya kita berbangga kerana berada jauh di depan berbanding negara seperti Myanmar, Nigeria dan Kenya, yang seiring dengan Malaysia memperjuangkan kemerdekaan dulu.  Kita juga amat bertuah kerana dikurniakan kestabilan ekonomi yang menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berbilang bangsa.
Namun, kita masih seolah-olah terperangkap dalam kategori negara berpendapatan sederhana, sedangkan negara China, Taiwan dan Korea Selatan yang lebih miskin daripada kita dahulu, kini jauh di depan sehingga diiktiraf sebagai negara maju.  China kini antara kuasa besar dunia.
Tegasnya, kebebasan daripada kuasa penjajah hanyalah salah satu prasyarat utama kemerdekaan dalam erti kata sebenarnya. Kemerdekaan daripada British, sekalipun besar pengertiannya, masih tidak cukup untuk kebebasan bangsa dan negara selagi tidak dibina kekuatan dan warga Malaysia tidak berdikari dan bebas sepenuhnya di bidang ekonomi.
Ini menyebabkan kita ketinggalan berbanding China, Taiwan, Korea Selatan dan Singapura setelah negara terbabit lebih maju ke depan dalam pencapaian ekonomi serta berupaya menjana pendapatan purata rakyat masing-masing pada kadar jauh lebih tinggi daripada kita.
Kita perlu terima mereka lebih maju kerana menguasai kebebasan ekonomi.  Ini berjaya mereka lakukan setelah sebahagian besar ekonomi mereka, khasnya beberapa sektor strategik dalam bisnes dan industri, dikawal warga negara mereka sendiri.  Mereka berupaya membina syarikat dan organisasi bisnes serta menguasai pasaran industri strategik hingga ke peringkat global. 
Jelas sekali bisnes dan industri penjana utama pendapatan dan kekayaan individu, komuniti dan negara.  Dalam sistem ekonomi hari ini, keterampilan daya usaha bisnes berlandaskan bisnes berorganisasi besar, berteknologi tinggi dan berjenama hebat antara prasyarat utama kemerdekaan dan kebebasan ekonomi sesebuah negara.  Perhatikan juga bahawa kejayaan berbisnes tidak semestinya dikaitkan dengan ideologi politik.  Ada yang maju dengan mengutamakan swasta, ada didahului badan milik pemerintah seperti syarikat milik kerajaan (GLC), dan ada juga yang menonjolkan kaedah campuran antara kedua-duanya.  
Paling penting, bisnes diutamakan, ahli bisnes handalan dan usahawan entrepreneur terbilang, sama ada  datang daripada swasta mahu pun GLC atau institusi lain, diberikan ruang, dipermudah oleh dokongan dasar, sumber modal, dan sokongan perundangan serta organisasi. Mereka juga menyerahkan amanah bisnes dan industri kepada yang paling ahli dalam bisnes. Justeru, mereka bermotivasi tinggi dan fokus dalam memburu kejayaan bisnes dan korporat untuk kepentingan jangka panjang bangsa dan negara.
Di Malaysia, kaum Cina dapat merealisasikan hal ini dalam konteks masyarakat mereka, sekalipun tanpa dokongan dasar spesifik seperti Dasar Ekonomi Baru untuk Melayu dan Bumiputera. Itu sebabnya, sekalipun terdapat golongan miskin di kalangan mereka, jumlahnya kecil berbanding dengan Melayu, Bumiputera lain dan kaum India. Ini bermakna menerusi usaha dan kegigihan mereka berbisnes, selain memperkaya diri dan keluarga, mereka juga telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 
Di kalangan kaum India, sekalipun masih ramai miskin, semakin ramai dilihat menjadi ahli bisnes handalan dan usahawan entrepreneur yang meningkat pendapatan apabila berjaya merebut peluang kerjaya di bidang bisnes dan profesional.


Jelas sekali, untuk melonjakkan Malaysia ke tahap negara maju dan melipatgandakan pendapatan purata rakyat Malaysia seperti dicita-citakan di bawah Model Baru Ekonomi, satu pembaharuan besar perlu dilakukan khas untuk melibatkan jumlah besar Melayu, Bumiputera dan semua golongan bawahan lain ke dalam sektor ekonomi yang dapat menjanjikan peningkatan pendapatan.  Kita harus melibatkan lebih ramai  ke dalam sektor bisnes (seolah-olah sembilan daripada setiap sepuluh seperti anjuran Islam). 


http://www.businessjihad.com/?p=2954
Untuk itu, mereka harus dilonjakkan, supaya tidak berpuas hati denagn bisnes kecil-kecilan dan sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).   Mereka mesti digalakkan mengembangkan sehingga ke tahap korporat.   Semua organisasi korporat besar dunia dari kalangan semua bangsa pada umumnya bermula dengan langkah kecil-kecilan.
Kini tiba masanya kita menyusun strategi dan gunakan kaedah institusi yang diperbaharui untuk menjayakannya. Langkah pembaharuan ke arah itu telah dimulakan sejak dulu lagi, sebagai contoh, apabila kita dirikan industri kereta Proton dan Perodua, lengkap dengan sistem vendor dan pembekal. 
Apa yang diperlukan ialah pengembangannya ke dalam sektor strategik lain, dan penyusunan strategi pro-bisnes yang lebih tegas.  Jelas diperhatikan dalam beberapa hal kita mematahkan usaha sendiri, sekli gus mengizinkan ketirisan dan kebocoran hak milik bisnes apabila tidak mengikut prinsip dan amalan terbaik bisnes.  Kita memerlukan konsep pendekatan institusi yang diperluaskan kepada semua bidang bisnes utama dan strategik dalam konteks pertumbuhan masa depan negara.
Untuk itu, pembaharuan strategi paling utama ialah menerap prinsip dan falsafah bisnes dengan erti kata sebenarnya dalam semua aspek perancangan, penyusunan strategi dan pelaksanaannya. Prinsip paling penting ialah melihat bisnes sebagai bisnes dan tidak mencampur-adukkan program galakan bisnes dengan matlamat lain, sama ada politik dan kepentingan individu.  Tegasnya, kita memerlukan kaedah untuk membebaskan atau ”decouple” kepentingan bisnes daripada pertimbangan kepentingan politik.


http://www.businessjihad.com/?p=2954
Jika diperhatikan, kita selama ini lebih gemar menyusun strategi membantu uasahawan dalam bisnes dengan tujuan meraih sokongan mereka apabila timbul keperluan.  Mesej yang disampaikan kepada usahawan ialah kejayaan politik lebih diutamakan daripada kejayaan bisnes.  Secara tidak langsung kita membentuk minda dan mentaliti pergantungan atau ”dependency syndrome” di kalangan usahawan Melayu dan Bumiputera kepada dokongan politik.
Dalam sistem politik demokrasi Malaysia suasana hubungan politik dan bisnes seperti ini memang boleh dijangka dan mungkin akan berterusan.  Namun, jika ia satu realiti politik, ia tidak harus dominan sampai bila-bila.  Tiba masanya satu pakej dasar dan strategi objektif dan profesional diperkenal sebagai langkah utama pembaharuan.  
Jelas sekali kita tidak perlu bermula daripada sifar.  Kita memiliki beberapa GLC nasional yang hebat dan berupaya yang boleh digunakan sebagai institusi teras.  Apa yang diperlukan ialah penambah-upayaan dan memperkasa mereka untuk bertindak mengadakan program pembangunan usahawan dan vendor berkesan, berteraskan prinsip bisnes sepenuhnya. 
Program yang dijayakan oleh Johor Corporation (JCorp) menerusi pembangunan intrapreneurnya (bukan entrepreneur konvensyenal) boleh dipilih sebagai salah satu pendekatan.  Kelebihan intrapreneur (berbeza dengan francais dan penswastaan) ialah perhubungan berterusan anatara kedua pihak yang memangkinkan GLC seperti JCorp mengubah sikap dan mencorak minda bisnes serta  disiplin pasaran di kalangan usahawan terbabit yang umumnya tidak tahu disiplin dan tidak matang budaya bisnes mereka.
Pada akhirnya, perkara paling penting diutamakan ialah keupayaan mengendalikan bisnes atas usaha sendiri dan berdikari membina keupayaan bersaing sepenuhnya di pasaran.  Inilah sebabnya JCorp mensyaratkan intrapreneurnya supaya tidak selama-lama bergantung kepada JCorp dan syarikatnya, bahkan segera menentukan sekurang-kurangnya 60 peratus darpada jualan bisnes intrapreneurnya diperoleh daripada  pasaran  terbuka di luar JCorp.
Kesimpulannya, kita perlukan pembaharuan membina keupayaan usahawan Melayu berdikari.   Selagi tidak bangkit satu barisan usahawan bebas berdikari, sekalipun bisnes mereka berkaitan dengan institusi induk seperti GLC, selagi itulah kita tidak berjaya menghapuskan minda pergantungan atau ”dependency syndrome’ Melayu dan Bumiputera.  Selama itu juga kemerdekaan negara tidak dapat kita terjemahkan sebagai kebebasan ekonomi dan politik dalam erti kata sebenarnya. 


http://www.businessjihad.com/?p=2954
Andai Melayu terus bergantung hidup kepada orang lain, termasuk kepada kerajaan sendiri, selagi itu kita gagal melonjakkan pencapaian dan terus ketinggalan berbanding bangsa lain yang semakin perkasa di dunia.


Muhammad Ali Hashim,
1 September, 2010.

0 comments:

Followers